Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan. - Foto Ihsan Pembaca
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


LAPAN cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan lima motosikal di Kilometer 44.1 Jalan Dengkil, Sepang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mini Cooper dipandu wanita yang dalam perjalanan menghantar anak lelakinya ke sekolah, dipercayai hilang kawalan memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kereta dipandu mangsa terlanggar sebuah kereta perodua MyVi dipandu seorang lelaki di laluan berkenaan.

“Ekoran perlanggaran itu, lima motosikal yang berada di belakang MyVi terlanggar kedua-dua kereta menyebabkan penunggang serta pembonceng cedera," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, pemandu Mini Cooper itu dikenali sebagai iaitu Zalifah Yaacob, 44, cedera manakala, anak lelakinya, Affan Haziq Zarmavai, retak tulang belakang dan dua beranak itu kini dalam keadaan stabil di ke Hospital Putrajaya.

"Penunggang dan pembonceng motosikal terbabit ada yang patah kaki dan tangan, luka di kepala, kaki dan tangan selain cedera di rusuk.

“Seorang mangsa trauma, manakala pemandu Myvi tidak cedera. Semua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan," katanya.

Abdul Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 10:07 PM