ORANG ramai tidak melepaskan peluang bergambar bersama Iron Man di Pasar Tani Seri Bandi, Kemaman. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin
am@hmetro.com.my


KEHADIRAN lelaki berpakaian Iron Man di Pasar Tani Seri Bandi, Kemaman mencuri tumpuan pengunjung terutama kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar.

Mohd Amirul Mat,30, dari Kampung Meraga Beris, Kemaman diundang khas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mempamerkan pakaian dan watak Iron Man ke pasar tani itu sebagai ikon FAMA Daerah Kemaman.

Menurut Mohd Amirul berkata, ilham untuk memperagakan pakaian Iron Man timbul selepas menyaksikan ramai kanak-kanak dan remaja berminat dengan watak hero itu.

"Saya berpakaian seperti itu sebab minat dan tidak sangka pula ia mendapat perhatian sehingga dipilih menjadi ikon FAMA Daerah Kemaman.

"Malah, saya berterima kasih kepada FAMA Daerah Kemaman yang memberi kebenaran dan kepercayaan kepada saya untuk berpakaian Iron Man bagi memeriahkan pembukaan dua pasar tani di Pantai Penunjuk, Kijal dan Seri Bandi di Kemaman pada tahun ini," katanya yang juga pengusaha tapak semaian pokok bunga dan buah-buahan.

Pasar Tani Pantai Penunjuk, Kijal yang dibuka pada 24 Februari lalu beroperasi setiap hari Jumaat bermula jam 4 petang hingga 10 malam manakala Pasar Tani Seri Bandi pula beroperasi pada setiap hari Ahad juga bermula 4 petang hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 7:30 PM