Reman seorang guru sekolah agama (kanan) yang didakwa mencabul enam murid lelaki di Bandar Baru Bangi dilanjutkan. FOTO Aizuddin Saad
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


TEMPOH tahanan reman seorang guru agama yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul terhadap pelajar sekolah rendah agama di Bandar Baru Bangi dilanjutkan sehingga Khamis ini.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Sharifah Fazilah Zulkifli terhadap suspek berusia 29 tahun, pada jam 9.30 pagi, di Kajang, hari ini.

Tempoh reman itu disambung bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan lanjut selepas tempoh reman sebelum yang bermula Jumaat lalu lalu berakhir hari ini.

Pada Jumaat lalu, suspek ditahan selepas polis menerima enam laporan polis berhubung kejadian kes cabul membabitkan mangsa berusia dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun.

Media sebelum ini melaporkan semua mangsa yang tampil memberi keterangan mendakwa mereka dicabul oleh suspek ketika berada di sekolah sejak tahun 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 3:25 PM