JENAZAH mangsa dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PENGAWAL keselamatan sekolah maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 69, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Bukit Besi, 8.20 malam tadi.

Dalam kemalangan itu, Anuar Mohd Nor, 45, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian berlaku apabila Perodua Kancil dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Besi.

Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat untuk siasatan lanjut sebelum dituntut keluarganya kira-kira 3 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 1:01 PM