petugas PERHILITAN menggunakan dua gajah denak bagi pemindahan gajah tersesat (kiri) dari Taman Wangi untuk dipindahkan ke Taman Negara.
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Seekor gajah jantan yang sesat hingga kawasan perumahan Taman Wangi, di sini dari Kampung Renok Baru, dipindahkan ke Taman Negara Terengganu, semalam.

Gajah dinamakan Awang Wangi itu dianggarkan berusia 11 hingga 15 tahun dipindahkan dengan bantuan gajah denak dikenali Aidil dan Suria bermula jam 9.30 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya menerima makluman penduduk mengenai kehadiran gajah seberat dua tan itu pada Isnin lalu.

“Penduduk memberitahu gajah berkeliaran dari kawasan hutan di Kampung Renok Baru hingga ke Taman Wangi dan sepasukan petugas ke tempat kejadian pada Isnin.

“Kami mengepungnya di kawasan padang di Taman Wangi. Ia tidak agresif dan kami ikat kakinya dengan rantai besi memastikan tidak lari jauh.

“Jadi hari ini (semalam), operasi memindahkannya dijalankan membabitkan 18 petugas PERHILITAN dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Hulu Terengganu.

“Operasi pemindahan mengambil masa empat jam, berakhir 1.30 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.

Mohd Hasdi berkata, setakat ini lima kes berkaitan gajah liar dilaporkan di negeri ini dan semuanya dipindahkan ke Taman Negara.

Katanya, daripada lima kes itu, dua kes di Jeli, dua kes di Gua Musang dan satu kes di Kuala Krai.

“Bagi daerah Gua Musang, itu kes kedua selepas kami menangkap gajah di Pos Blau pada Februari lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:37 AM