Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS Terengganu menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM34,850 dalam tiga serbuan berasingan di Batu Rakit, Kuala Nerus dan Marang.

Lima suspek berusia 16 hingga 27 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Batu Rakit, Kuala Nerus dan Marang pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir, berkata polis menahan lelaki berusia 27 tahun bersama 1,832 pil kuda di rumah di Kampung Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus, pada 11.30 pagi, Isnin lalu.

Katanya, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia 16 hingga 26 tahun di dalam Perodua Myvi di tempat letak kereta Masjid Seberang Marang dalam serbuan kedua, pada kira-kira 6 petang, kelmarin.

"Kita merampas 13 botol disyaki heroin, 90 pil kuda dan RM2,040 tunai.

"Susulan soal siasat terhadap empat suspek terbabit, seorang daripada suspek berusia 23 tahun membawa polis ke rumah di Kampung Padang Mengkuang, Marang, pada 10.45 malam, hari sama.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui 33 botol disyaki dadah heroin dan 80 pil eramin 5 dengan keseluruhan rampasan bernilai RM16,050," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Roslan berkata, pihaknya turut menyita Perodua Myvi, Honda Jazz dan motosikal SYM E-Smart.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:03 PM
KATUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri) bersama pegawai menunjukkan pil kuda, syabu dan heroin. FOTO Ghazali Kori