DADAH dan barangan yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


POLIS merampas pelbagai jenis dadah daripada dua lelaki yang ditahan di depan pusat hiburan di Bintulu, semalam.

Suspek masing-masing berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan pada 10.50 malam oleh sepasukan polis yang menjalankan Ops Cantas.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit berkata, pemeriksaan lanjut dalam Toyota Hilux yang dinaiki suspek menemui pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM22,000.

Menurutnya, antara yang dirampas termasuk 71 paket dadah ketamin, pil ekstasi (24 biji), syabu (satu paket) serbuk dipercayai dadah (tujuh paket) dan rokok mengandungi ganja (10 batang).

"Penahanan suspek kemudian membawa polis ke rumah di Taman Bintulu, Tanjung Batu dan 35 paket serbuk dipercayai dadah dirampas," katanya.

Zailani berkata, suspek akan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 9:44 AM