AHMAD Zahid mendengar penerangan daripada Komander Marin dan Udara, Dave Luhrs pada lawatan ke ABF, semalam.
BERNAMA
am@hmetro.com.my


KAWALAN sempadan negara akan diperkemaskan lagi menerusi penyelarasan piawaian prosedur operasi standard (SOP) agensi berkaitan dalam menangani jenayah rentas sempadan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, integrasi keempat-empat agensi kawalan sempadan negara iaitu polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) penting agar usaha membanteras jenayah rentas sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Di kawasan perairan, kita mempunyai APPM, di sungai (di bawah tanggungjawab) polis marin, polis marin diberikan kawasan sekitar 5 batu nautika dari pesisiran pantai, APMM (kawalan) 5 batu nautika ke kawasan perairan antarabangsa, (kawalan perairan) antarabangsa (dilakukan) pihak tentera laut, manakala sempadan darat (dikawal oleh) AKSEM,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengambil beberapa langkah dalam melakukan penyelarasan piawaian SOP dan integrasi keempat-empat agensi penguat kuasa itu dalam membanteras jenayah penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Kolej Pasukan Sempadan Australia (ABF), di Sydney, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, Malaysia juga bercadang menghantar pegawai dalam agensi berkenaan untuk mempelajari modul Australia dalam mengawal sempadan negara itu.

“(Bagaimanapun) ini (ABF) bukannya satu-satu pusat latihan di Australia, ada banyak lagi pusat latihan lain (di Australia iaitu) di Melbourne, Adelaide, Perth dan Darwin, maka kita akan memilih tempat bersesuaian untuk (menghantar pegawai) agensi terlibat (polis marin, APMM dan AKSEM),” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Australia, tiba di Sydney pagi semalam selepas dua hari berada di Canberra.

Lawatan kerja beliau itu bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia, selain berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan keselamatan, membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Pada tengah hari semalam, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor New South Wales, David Hurley di Rumah Kerajaan, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 4:13 AM