JEFFREY (berkemeja biru) melancarkan ‘Udara Bersih- Projek Persekitaran Bebas Merokok’.
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


AMANAH Pelaburan Hartanah Sunway (Sunway REIT) melancarkan kempen ‘Udara Bersih- Projek Persekitaran Bebas Merokok’ di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, ia langkah awal menjadikan Bandar Sunway sebagai bandar pertama di Malaysia bebas rokok menjelang tahun depan, selaras dengan usaha aspirasi kerajaan.

“Setakat ini, pihak kami akan mewartakan enam lokasi sekitar Bandar Sunway sebagai zon bebas rokok iaitu Universiti Monash, Unversiti Sunway, Pusat Perubatan Sunway, Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel and Spa dan Hotel Sunway Pyramid.

“Tahun ini, kawasan zon bebas rokok akan diperluaskan membabitkan beberapa lokasi lain termasuk Menara Sunway, The Pinnacle dan pusat beli-belah Sunway Pyramid,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran ‘Udara Bersih- Projek Persekitaran Bebas Merokok’, di sini, semalam.

Beliau berkata, ia projek secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula 2013.

“Pelbagai program diadakan sepanjang seminggu kempen ini diadakan sehingga hujung minggu nanti.

“Antaranya sesi kaseling percuma dan kit berhenti merokok yang dikendalikan Pusat Perubatan Sunway dan Johnson,” katanya.

Jeffrey berkata, dijangka 250 peserta akan menyertai program itu sekali gus memberi komitmen dan menyokong usaha Sunway REIT untuk kempen berkenaan.

Selain itu, Sunway REIT turut mengadakan kerjasama dengan tiga pelukis mural iaitu Kenjo Chai, Caryn Koh dan Louise Low.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 3:57 AM