AHMAD Zahid bersalam dengan Dutton di Australia, semalam.
BERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan badan penguat kuasa yang didapati melindungi aktiviti perjudian dan pelacuran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras jenayah rasuah membabitkan penguat kuasa terbabit.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang mendedahkan pihaknya mempunyai bukti terdapat penguat kuasa di negeri di selatan tanah air melindungi sindiket judi dan pelacuran dengan bayaran RM1.2 juta sebulan.

Dzulkifli berkata, bukti berbentuk dokumen itu ditemukan pihaknya ketika melakukan operasi di negeri terbabit baru-baru ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, KDN menyokong dan akan memberikan segala bantuan kepada SPRM dalam menghapuskan kegiatan berkenaan.

“Jika ini benar... PDRM (polis) & KDN akan pasti beri kerjasama dengan pihak SPRM dan menyokong tindakan-tindakan yang dilakukan pihak SPRM,” kata Ahmad Zahid yang sedang dalam lawatan kerja tiga hari di Australia ketika ditemui media Malaysia di sini semalam.

Beliau membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull; bertemu Menteri Kehakiman Australia Michael Keenan dan Menteri Luar Julie Bishop serta mengadakan perbincangan dengan Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Peter Dutton.

Ahmad Zahid tiba di sini kelmarin untuk lawatan kerja bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia dengan menumpukan kepada soal keselamatan, membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Hari ini, beliau akan berlepas ke Sydney untuk bertemu dengan Gabenor New South Wales, David Hurley.

Beliau juga akan melawat Kolej Pasukan Sempadan Australia.

diikuti dengan majlis makan malam bersama penuntut Malaysia sebelum pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 5:35 AM