Wan Abdul Malik menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya terhadap Rafizi. FOTO Syafiq Ambak
Isma Ismail
isma@hmetro.com.my


Pegawai syarie di Terengganu termasuk hakim syarie menggesa supaya Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli disiasat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dalam kenyataannya pada 10 April lalu.

Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu Wan Abd Malik Wan Sidek meminta tindakan terhadap Rafizi diambil berikutan keceluparannya hingga menjatuhkan maruah hakim syarie.

Berikutan itu, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 11.20 pagi hari ini bagi diambil tindakan lanjut.

"Laporan polis dibuat selepas saya melihat video kenyataan Rafizi ketika bersama sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang.

"Rafizi membuat kenyataan bahawa gaji hakim mahkamah syariah dalam RUU 355 (Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965) tidak dinaikkan akan meningkatkan risiko pengambilan rasuah serta penyalahgunaan kuasa," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) turut membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung kenyataan dikeluarkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang didakwa menjatuhkan maruah hakim syarie.

Pada 10 April lalu, Razifi bersama beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengadakan sesi sidang Parlimen olok-olok dengan membahaskan usul RUU 355 yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 4:22 PM