SEORANG penduduk mengajukan soalan ketika membincangkan isu selamatkan Taman Rimba Kiara DBKL.
LEON (tiga kanan) pada perjumpaan dengan penduduk membincangkan isu selamatkan Taman Rimba Kiara.
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bukan hanya membabitkan projek pembangunan bercampur, Taman Rimba Kiara bakal berdepan projek pembinaan jalan raya enam laluan baru yang menghubungkan Lebuhraya Penchala ke arah Kuala Lumpur.

Penyelaras Jawatankuasa Gerak Kerja Selamatkan Taman Rimba Kiara, Leon Koay berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan mengenai projek berkenaan ketika cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung pembinaan pembangunan bercampur membabitkan lebih 2,000 kediaman dan pusat komersial di taman berkenaan, baru-baru ini.

“Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya memaklumkan mengenai projek pembangunan bercampur di atas sebahagian tapak Taman Rimba Kiara yang mendapat bantahan penduduk sekitar.

“Namun sebaliknya, kami difahamkan satu lebuh raya akan dibina dari arah Lebuhraya Penchala ke Kuala Lumpur, merentasi TTDI bagi mengatasi masalah pertambahan penduduk ekoran projek pembangunan bercampur berkenaan,” katanya ketika menghadiri perjumpaan bersama penduduk TTDI, di Institut Pengurusan Wanita, di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan itu membayangkan keadaan TTDI yang semakin dipenuhi pembangunan selain pertambahan jumlah kenderaan dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Bayangkan, DBKL mempunyai perancangan untuk menambah kepadatan bilangan penduduk di sini daripada 74 orang kepada 979 orang bagi setiap ekar tanah (0.4 hektar).

“Jumlah itu dilihat tidak bersesuaian memandangkan kawasan TTDI sendiri mengalami masalah kesesakan lalu lintas yang teruk terutama ketika waktu puncak,” katanya.

Terdahulu, lebih 500 penduduk menghadiri sesi taklimat berkenaan yang juga sepakat membantah projek pembangunan bercampur di kawasan Taman Rimba Kiara.

Selain itu, Leon berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada DBKL berhubung bantahan penduduk terhadap projek pembangunan bercampur itu.

“Kami tidak membantah sekiranya mereka (DBKL) mahu membangunkan perumahan untuk penduduk rumah panjang di Taman Rimba Kiara yang sepatutnya berjumlah kira-kira 180 unit kerana itu yang dijanjikan kepada mereka sejak sekian lama.

“Namun, agak menghairankan apabila projek itu membabitkan lebih 2,000 unit kediaman selain pembangunan komersial di atas tapak seluas 4.8 hektar saja,” katanya.

Menurut Leon, sehingga kini penduduk masih menunggu maklum balas daripada DBKL termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membabitkan perundangan dan mahkamah sekiranya projek ini terus dijalankan walaupun secara jelas mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

“Berdasarkan Draf Pembangunan Kuala Lumpur 2020 sebelum ini, jelas menunjukkan kawasan itu digazetkan sebagai kawasan lapang awam dan rumah ibadah.

“Justeru, cukup menghairankan apabila DBKL dan kementerian mengambil pendekatan untuk membangunkan kawasan itu sedemikian rupa seolah-olah draf pembangunan yang dirancang sebelum ini tidak berguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:56 AM