ORANG ramai yang hadir pada Pameran Hartanah MyRumah.
ABDUL Jalil (tengah) diiringi Pengurus Besar Pengiklanan Agensi dan Unit Usahawan Kecil dan Sederhana NSTP Roche Chew (dua dari kiri) diberi penerangan oleh Dr Vincent (kanan).
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), merancang memperluaskan Pameran Hartanah MyRumah ke beberapa bandar utama di negara ini termasuk mengintai peluang di Melaka, Ipoh dan Kuantan, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Abd Jalil Hamid berkata, komitmen memperluaskan pameran berkenaan mengambil kira sambutan syarikat yang berkaitan perumahan menerusi beberapa siri penganjuran di beberapa tempat seperti Balai Berita, Bangsar dan Johor Bahru.

“Kami merancang melebarkan kempen MyRumah ke bandar lain, lepas ini akan berlangsung di Alor Setar pada Ogos ini.

“Tahun depan, kempen hartanah membabitkan pemaju tempatan dan pempamer akan diperluaskan ke Melaka, Ipoh dan Kuantan,” katanya selepas melancarkan Pameran Hartanah MyRumah 2017 di Komtar JBCC, di sini, semalam.

Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran NSTP kembali dengan siri kedua tahun ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik di Komtar JBCC, di sini, selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd Datuk Seri Dr Vincent Tiew.

Seperti penganjuran di lokasi sama tahun lalu, pameran kali ini disertai 18 peserta termasuk 12 pemaju hartanah tempatan seperti Johor Land (JLand), Andaman Group, Astaka Padu, SKS Cocoa Valley dan YPJ Builders dengan menawarkan hartanah bernilai RM500,000 ke bawah.

Edisi kedua itu adalah kesinambungan daripada acara yang diadakan di Kuala Lumpur, Mac lalu dengan memberi peluang kepada orang ramai dan pembaca akhbar kumpulan NSTP mendapatkan kediaman mampu milik pada harga berpatutan, selain memperoleh khidmat rundingan secara percuma.

Antara penceramah terkenal dan pakar hartanah yang hadir ialah Vince Chia (Diligent Planners Sdn Bhd), Aziz Ahmad (Hartanahguru.com), Alan Poon (Superior Wealth Mastery), Dr Daniele Gambero (REI Group of Companies) dan Khalil Adis (Khalil Adis Consultancy).

Katanya, program itu dianggap berjaya dan mencapai matlamatnya terutama sokongan daripada pemaju.

“Tahun ini, komitmen ditunjukkan peserta sangat baik, bahkan bilangannya meningkat daripada 16 peserta kepada 18 pempamer.

“Kami menjangka pameran tiga hari ini menarik lebih ramai pengunjung dengan sasaran lebih 15,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, Pameran Hartanah MyRumah adalah ruang terbaik bagi orang ramai mendapatkan maklumat daripada pemaju perumahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:12 AM