AHMAD Zahid diiringi Mohd Yusof (kiri), Jamil Khir dan Prof Dr Abbas Syuman (dua dari kanan) selepas majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyah 2017 ‘Fiqh Wala’ dan Taat’ di PICC, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Setiap rakyat termasuk generasi muda di negara ini mesti menanam dan menghayati fiqh wala’ dan taat mengikut perspektif Malaysia terutama dalam keadaan serta realiti dihadapi pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sifat ekstrem serta melampau perlu diketepikan selain mengamalkan budaya fikir dan tindakan yang sederhana.

“Fahami dan hargai prinsip wasatiyyah yang disarankan dengan menterjemah pelaksanaannya.

“Justeru, saya mengingatkan iaitu jalan yang benar adalah kesederhanaan malah wala’ dan taat dilaksanakan mengikut acuan dan dibawa atas nama kebersamaan untuk Islam dan ummah di negara ini,” katanya berucap pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Abdullah Md Zin, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Yusof Din serta Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar, Mesir Prof Syeikh Dr Abbas Syuman.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, frasa wala’ dan taat di Malaysia harus mengikut acuan Islam disesuaikan dengan cita rasa dan landskap politik di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:22 AM