Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada mana-mana individu atau syarikat untuk menjalankan urus niaga mata wang asing (forex) di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kebelakangan ini, orang ramai beranggapan kementeriannya mengeluarkan lesen berkenaan sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Segala perniagaan bersifat ‘money game’ atau skim cepat kaya seperti pelaburan, hartanah, forex atau emas yang berselindung di bawah modus operandi pemasaran pelbagai peringkat (MLM) tidak dibenarkan.

“Ini selaras dengan Seksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (AJLSAP 1993) dan tertakluk di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media mengenai isu skim pelaburan tidak sah di kementeriannya, di sini, semalam.

Katanya, setiap syarikat yang ingin menjalankan perniagaan jualan langsung perlu membuat permohonan terlebih dulu untuk mendapatkan lesen termasuk mengemukakan pelan pemasaran yang tidak mempunyai unsur skim piramid.

“BNM menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan (NCC) untuk menyelaraskan aktiviti penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA).

“Jawatankuasa itu dianggotai semua agensi penguatkuasaan termasuk BNM, KPDNKK, PDRM, SC, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara,” katanya.

Menurutnya, kesalahan berkaitan skim pelaburan, skim kepentingan serta jualan langsung juga dimasukkan ke dalam jadual pertama AMLATFAPUAA 2001 sebagai kesalahan utama, malah siasatan dibuka mengikut akta berkaitan serta AMLATFAPUAA 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 6:14 AM