BERSAMA keluarga ketika majlis konvokesyen ICAEW, baru-baru ini.
NUR Atikah (dua dari kanan) ketika menjalani latihan praktikal di BDO.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan calang-calang orang mampu lulus cemerlang dalam peperiksaan dan program bersepadu Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) yakni badan berprestij untuk kelayakan akauntan bertauliah yang diiktiraf di seluruh dunia.

Di Malaysia, beberapa tokoh terkemuka seperti Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengurus EY Malaysia Datuk Rauf Rashid serta pengasas AirAsia Berhad Tan Sri Tony Fernandes adalah antara pemegang kelayakan akauntan bertauliah ICAEW.

Namun, di mana ada kemahuan, pasti ada jalan.

Meskipun menggenggam Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari universiti ternama, University of Illinois Urbana-Champaign, Amerika Syarikat, ia bukan penghalang kepada Nur Atikah Paimin, 30, terus meningkatkan kemahiran dalam hidupnya.

Dek kerana minat dan ingin mencuba bidang baru, anak sulung daripada tiga beradik itu beralih kerjaya daripada jurutera di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada bidang kewangan dan kini menjadi akauntan bertauliah yang diiktiraf ICAEW.

Nur Atikah adalah antara belia terpilih dalam program pembangunan bagi pensijilan profesional serta program kepakaran untuk bidang profesional menerusi inisiatif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Jelas Nur Atikah, berubah haluan daripada jurutera kepada akauntan bertauliah bukan mudah kerana perlu berkorban masa dan komitmen untuk mengikuti kelas yang diadakan pada hujung minggu.

“Alhamdulillah, berkat doa serta sokongan keluarga, saya berjaya menghabiskan program berkenaan dan lulus 15 mata pelajaran dalam masa empat tahun tanpa perlu mengulang sebarang peperiksaan atau menganjak masa.

“Jika difikirkan, memang tidak percaya kerana pada masa sama, saya juga perlu bekerja dan menjalani latihan praktikal di firma akauntan berprestij, BDO.

“Namun alah bisa tegal biasa kerana ia jalan yang saya pilih, jadi suka atau tidak saya perlu teruskan sehingga berjaya,” katanya.

Menurut Nur Atikah, ibunya menentang pada awal dia mengutarakan hasrat mencuba bidang baru kerana bimbang mengenai kontrak tajaan pengajiannya sebelum ini.

Begitupun, selepas diterangkan dengan teliti termasuk peluang pekerjaan yang lebih luas jika memiliki kelayakan sebagai akauntan bertauliah, ibu dan ahli keluarga lain mula menerima dengan hati terbuka.

“Bidang perakaunan mempunyai pasaran kerja yang luas dan bonus jika memiliki keahlian ICAEW kerana kita boleh bekerja di mana-mana syarikat di seluruh dunia.

“Saya sendiri mempunyai perancangan untuk bekerja di firma berprestij di luar negara suatu hari nanti, namun buat masa ini mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya sedia ada untuk mencari pengalaman sebelum melangkah lebih jauh,” katanya yang bertugas di Bahagian Kewangan dan Kejuruteraan, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Wanita cekal yang gemar membuat kek dan pastri pada masa lapang ini berkata, dalam apa juga bidang diceburi, perkara pertama yang perlu dibuang adalah persepsi negatif.

Katanya, kita perlu menetapkan hala tuju dalam hidup dan berusaha bersungguh-sungguh mencapainya.

“Tiada benda mustahil untuk kita lakukan asalkan ada minat, usaha dan komitmen tidak berbelah bagi. Apa yang diusahakan pasti membuahkan hasil.

“Soal lambat atau cepat itu perkara kedua kerana apa yang penting, kita tidak menyesal kemudian hari,” katanya.

Nur Atikah turut menasihatkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya berani menceburi bidang baru dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada bidang popular seperti perubatan atau kejuruteraan.

Katanya, bidang kewangan terutama perakaunan mempunyai masa depan cerah kerana skop dan peluang kerjanya begitu meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 8:06 AM