PASANGAN kekasih yang diselamatkan anggota polis marin.
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Semporna: Dua pelancong warga China berdepan detik cemas selepas kayak dinaiki terkandas di batu karang di Pulau Mabul, dekat sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Zhao Zhe, 26, dan teman wanitanya, Qin Yiping, 28, diselamatkan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di satu lokasi 500 meter di selatan pulau berkenaan, jam 9 malam.

Difahamkan, pasangan kekasih itu keluar dari resort mereka di Pulau Mabul untuk aktiviti berkayak jam 5.30 petang.

Pasangan itu tidak pulang ke resort sehingga jam 8 malam sebelum pihak pengurusan resort melaporkan kejadian terbabit kepada Pangkalan Hadapan Polis (IFOB) Pulau Mabul.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, susulan itu usaha mencari pelancong terbabit digerakkan.

“Hasil tindakan pantas pasukan keselamatan, sejam kemudian pasangan itu ditemui 500 meter di selatan Pulau Mabul dalam keadaan keletihan.

“Pasangan terbabit dilaporkan terkandas di kawasan batu karang ketika air laut surut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Wan Abdul Bari berkata, pelancong berkenaan dihantar semula ke tempat mereka menginap di resort dalam pulau terbabit.

Beliau turut berkata, pihaknya menasihatkan pihak pengusaha resort supaya menitikberatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 6:59 AM