ANGGOTA polis trafik menahan suspek dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Sultan Iskandar berdekatan susur ke Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, kelmarin.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Panik melihat anggota polis melakukan sekatan jalan raya menyebabkan seorang penjenayah nekad melarikan diri dengan mengundurkan keretanya.

Bagaimanapun, tindakan suspek terbabit sia-sia apabila kereta dipandunya merempuh pembahagi jalan sebelum dia ditahan.

Kejadian berlaku jam 7 malam kelmarin ketika anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Sultan Iskandar berdekatan susur ke Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nazri Hussin berkata, suspek berusia 32 tahun terbabit ditahan hasil Operasi Kenderaan Berat dilaksanakan lapan anggota di lokasi itu.

Katanya, suspek yang menaiki kereta Proton Waja cuba meloloskan diri sebaik melihat anggota polis melakukan sekatan jalan raya.

“Suspek cuba meloloskan diri dengan mengundurkan keretanya, tetapi kenderaan dipandu merempuh pembahagi jalan dan dia keluar melarikan diri memasuki kawasan semak.

“Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota polis, suspek diberkas ketika menyembunyikan diri,” katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki rekod dikehendaki berhubung kes samun di Salak Selatan.

“Saman turut dikeluarkan terhadap suspek kerana dia tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung operasi itu, Nazri berkata, 45 saman dikeluarkan terhadap kenderaan berat yang didapati melakukan kesalahan.

Katanya, antara kesalahan dikesan adalah tiada segi tiga keselamatan, cukai jalan dan lesen tamat tempoh, ubahsuai dan menggunakan lesen palsu.

“Hasil operasi ini, dua lelaki ditahan membabitkan suspek kerana memiliki rekod dikehendaki dan menggunakan lesen palsu bagi memandu kenderaan berat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:37 AM