TERTUDUH dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh kenalan mereka yang mempunyai masalah mental.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Selayang: Enam lelaki termasuk empat beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh kenalan mereka yang mempunyai masalah mental di kawasan sebuah kuil Hindu di Bandar Baru Kundang, dekat sini, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mereka adalah kelindan lori S Sasi Kumar, 18, dan adiknya yang berusia 15 tahun; pemandu lori R Maniarasu, 23, dan adiknya yang berusia 16 tahun; pekerja kilang P Saathia Seelan, 21, dan tukang paip S Manivannan, 21.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh R Jaya Saravanan, 38, seorang penganggur, jam 12.30 tengah malam pada 7 April lalu di kawasan kuil Sri Muniswaran, Bandar Baru Kundang.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 akta sana memperuntukkan hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar manakala peguam V Ravendran mewakili Saathia.

Mahkamah menetapkan 24 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:15 AM