KEADAAN longgokan sampah di Flat Taman Sri Serdang.
Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Serdang: Terpaksa berjiran dengan tiga longgokan besar sampah yang tidak, dikutip dan terbiar lama selain menghidu bau meloyakan.

Itu penderitaan yang dilalui 1,000 penduduk Flat Taman Sri Serdang, di sini sejak tiga minggu lalu.

Malah, lebih membimbangkan penduduk perumahan kawasan itu berisiko dijangkiti denggi berikutan banyak bahan buangan terutamanya tayar terpakai yang menakung air.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu juga mendapati banyak nyamuk aedes berterbangan pada bekas takungan air itu, selain lalat kerana pelbagai jenis bahan sisa pepejal lain turut dibuang di situ.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Sri Serdang Saheh Said berkata, kawasan itu (Taman Sri Serdang) sudah menjadi lokasi panas denggi dengan 58 kes dicatatkan setakat ini.

“Kita bimbang dengan kewujudan longgokan sampah itu menjadi punca terbaru dan ini akan memburukkan lagi keadaan sedia ada.

“Longgokan sampah menjadi semakin besar dan tinggi kerana setiap hari penduduk membuang sampah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, memang ada disediakan tempat khas untuk sampah berkenaan tetapi tidak dapat menampung sisa pepejal lain kerana ia sudah penuh hingga memaksa penduduk membuangnya di lot meletak kenderaan yang dijadikan ‘tong sampah baru’.

Saheh berkata, longgokan sampah itu terlalu hampir dengan rumah penduduk iaitu pada jarak kira-kira 50 meter dan dibimbangi boleh mengundang penyakit lain.

“KRT melakukan gotong-royong di kawasan perumahan itu tidak dapat membuang longgokan sampah itu kerana kekurangan kelengkapan.

“Saya ada membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tetapi tidak ada tindakan diambil sehingga kini,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ Azfarizal Abdul Rashid ketika dihubungi berkata, pengutipan sampah berkenaan adalah di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) flat terbabit.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada JMB berkenaan pada 23 Mac dan tamat pada 29 Mac lalu.

“Siasatan semula pada 11 April lalu mendapati JMB ingkar notis dan kompaun sudah dikeluarkan semalam.

“Pembersihan secara Task Force oleh MPSJ dijalankan mengikut jadual dalam masa terdekat,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:29 AM