ABDUL Aziz (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Sepang: Tujuh tahun di dalam penjara belum cukup ‘mengajar’ seorang bekas banduan apabila dia kembali dalam kancah samun dan pecah rumah selepas dibebaskan lapan bulan lalu.

Bagi menunaikan ‘gian’ menyamunnya, lelaki berusia 25 tahun itu turut membentuk satu kumpulan samun dikenali bersama empat kenalan berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Bagaimanapun, selepas terbabit dalam lima kes samun dan pecah rumah sekitar Banting, Klang dan Sepang sejak beberapa bulan lalu, bekas banduan itu akhirnya berjaya diberkas polis bersama empat ahli kumpulannya sekitar 9 hingga 12 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mengikut rekod polis, bekas banduan itu pernah dipenjara tujuh tahun di Penjara Kajang kerana kesalahan samun berkumpulan dan merusuh.

Beliau berkata, siasatan mendapati, semua suspek terbabit dalam lima kes samun dan pecah rumah termasuk kedai serbaneka 24 jam di tiga daerah terbabit.

“Kumpulan samun berkenaan didapati bersenjatakan parang untuk menyamun mangsa selain menggunakan kereta curi dan kereta sewa bagi melancarkan aktiviti mereka.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 20 April ini sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting dan Klang untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga kereta yang digunakan suspek termasuk dua Perodua Myvi dan sebuah Perodua Alza selain tiga bilah parang, telefon bimbit dan sebuah komputer riba dengan anggaran kerugian sekitar RM46,000.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal juga mendapati, empat suspek lain turut mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing kesalahan samun, merusuh dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Menurutnya, salah seorang suspek yang ditahan masih memakai alat sistem peranti pemantauan elektronik (EMD) pada kakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:27 AM