DADAH yang dirampas daripada pasangan suami isteri di Melor.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Sepasang suami isteri sanggup membawa empat anak mereka yang masih kecil untuk melakukan urusan jual beli dadah bagi mengaburi mata pihak polis.

Namun, taktik pasangan berusia 32 dan 38 tahun itu terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan di Melor pada jam 10.10 malam, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pasangan itu yang aktif menerusi Sindiket Madi ditahan ketika di dalam kereta Proton Wira dan polis merampas heroin seberat 160 gram bernilai RM80,000 yang ditemui di bawah alas kaki tempat duduk pemandu.

“Mereka dipercayai menunggu pelanggan dan turut membawa empat anak mereka berusia di bawah 12 tahun.

“Suami isteri ini mengedar dadah sejak awal Januari lalu. Hasil ujian saringan mendapati suspek lelaki positif morfin dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkait dadah.

“Pasangan itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Din berkata, bekalan heroin itu dipercayai untuk kegunaan 8,000 pengguna di kawasan sekitar.

Pada masa sama beliau berkata, dalam dua serbuan berasingan di Batang Merbau di Tanah Merah dan di Kampung Chenulang, Kuala Krai masing-masing pada jam 12.45 tengah hari dan 12.50 tengah hari kelmarin, pihaknya menahan dua lelaki berusia 28 dan 40 tahun.

Katanya, hasil penahanan itu, mereka merampas 210 pil kuda dan sembilan gram heroin bernilai RM6,000.

“Lelaki yang ditahan di Tanah Merah positif Amphetamine dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau, manakala suspek yang ditahan di Kuala Krai mempunyai 11 rekod kesalahan lampau membabitkan dadah sejak 2007.

“Semua suspek ditahan reman selama seminggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 3:49 AM