NARUHITO (dua dari kiri) ketika melawat Muzium Negara.
Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Putera Mahkota Jepun Putera Naruhito yang dalam lawatan rasmi lima harinya ke Malaysia sejak tiba di sini, Khamis lalu, sempat meluangkan masa hampir sejam melawat Muzium Negara untuk melihat artifak serta bahan sejarah yang dipamerkan.

Beliau tiba tepat pada jam 9.45 pagi dan ketibaan baginda disambut oleh putera Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A Kasim.

Sempena kunjungan itu, Naruhito dibawa melawat ke galeri artifak dan bahan sejarah di tingkat satu dan dua muzium berkenaan sambil diberi penerangan kira-kira 45 minit oleh sukarelawan muzium JMM Yuko Ikeda.

Antara yang dilawat termasuk galeri Sejarah Awal serta galeri Kerajaan Melayu yang menyoroti sejarah kewujudannya di Nusantara khususnya di Tanah Melayu serta menonjolkan kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Beberapa koleksi menarik dilihat oleh baginda termasuk koleksi keris yang dimiliki oleh Sultan Terengganu yang ke-13 Sultan Sulaiman Syah.

Baginda yang juga pewaris utama takhta Jepun membuat kunjungan pertama ke Malaysia bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik Tokyo-Kuala Lumpur selain meraikan kemuncak 60 tahun persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara sejak 1957.

Dalam rangka lawatan yang berakhir hari ini, baginda turut melawat Tugu Negara serta mercu tanda industri kejuruteraan tempatan, Terowong Smart.

Terdahulu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam dua majlis berasingan.

Selain itu, baginda turut memberi ucaptama di Universiti Malaya selain meninjau Program Permata Pintar, Sekolah Jepun Kuala Lumpur, Program Sukarelawan Luar Negara Jepun dan interaksi dengan komuniti pelajar serta rakyat Jepun di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:17 AM