TAMAN Tasik Taiping yang dipenuhi dengan pokok hujan-hujan.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Taiping: Samanea saman atau pokok hujan-hujan yang berasal dari Amerika Selatan mula ditanam di Tanah Melayu pada 1876 dan diperkenalkan untuk penanaman di kawasan bandar seawal 1900.

Pokok berkenaan sehingga kini masih popular ditanam terutamanya di pinggir jalan serta lebuh raya dan mempunyai sifat istimewa yang mana ia akan menguncupkan daunnya pada waktu senja atau waktu hujan.

Disebabkan itu, ia dipanggil pokok hujan-hujan dan pokok ini mempunyai pertumbuhan yang cepat walaupun dalam persekitaran yang mencabar serta mudah dijaga.

Taman Tasik Taiping yang terletak di bawah kawal selia Majlis Perbandaran Taiping (MPT) antara kawasan yang boleh dikatakan mempunyai pokok hujan-hujan yang paling banyak iaitu 97 pokok di sekeliling tasik berkenaan.

Semua pokok dianggarkan berusia 135 tahun yang ditanam sekitar 1880 itu masih utuh serta kuat sehingga membolehkan kawasan itu menjadi tarikan pelancong untuk bergambar termasuk pasangan pengantin yang ingin mengabadikan kenangan terindah mereka.

Pokok hujan-hujan di sekitar kawasan berkenaan yang dianggarkan boleh kekal sehingga 35 tahun lagi itu perlu terus dijaga supaya keunikan kawasan taman tasik itu dapat dikekalkan kerana pokok berkenaan menjadi identiti utamanya.

Sudah pasti MPT mempunyai rancangan masa depan bagi mengekalkan pokok berkenaan yang menjadi identiti taman tasik itu, sekali gus menjadikan pokok hujan-hujan terus kekal di negara ini.

Pegawai Perancangan dan Pembangunan Bandar MPT Syahrulnizam Baharom berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah terbaik bagi memastikan spesies pokok hujan-hujan ini terus kekal dan dapat bertahan di kawasan taman tasik berkenaan.

Katanya, lima daripada 97 pokok yang mengelilingi kawasan taman tasik itu sudah tumbang namun pihaknya mengambil langkah terbaik dengan menggantikan pokok berkenaan menggunakan kaedah ‘transplan’.

Menurutnya, pokok hujan-hujan ini ditanam di Jalan Kamunting-Batu Kurau berdekatan Sekolah Menengah Teknik Taiping sebelum ia dipindahkan ke taman tasik berkenaan bagi menggantikan pokok yang tumbang itu menggunakan kaedah ‘transplan’.

“Pihak MPT menggunakan kaedah ‘transplan’ bagi menggantikan pokok sudah tumbang akibat terkena petir serta ribut dan kaedah itu dilakukan pada tahun lalu ketika program Pemukiman Menteri Besar.

“Lapan pokok kita sudah tanam bagi menggantikan pokok yang sudah tumbang dan lokasi yang kita rasakan sesuai bagi terus membolehkan kawasan taman tasik ini menjadi tarikan dengan keindahan floranya.

“Semua pokok ini sudah ditanam di lokasi berkenaan sejak lima tahun lalu dan akar pokok ini diyakini kuat walaupun ia dipindahkan menggunakan kaedah transplan,” katanya.

Menurut Syahrulnizam, MPT melalui peruntukan diberikan oleh kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM18,000 untuk menggunakan kaedah ‘transplan’ itu bagi memindahkan lapan pokok berkenaan.

Katanya, ia termasuk kos menggunakan lori serta tenaga pekerja dan setakat ini MPT melihat teknik berkenaan berhasil apabila pokok ditanam itu hidup subur di lokasi lama pokok yang tumbang.

“Pokok hujan-hujan ini tidak susah untuk dijaga namun disebabkan ia pokok yang sudah berusia 135 tahun, MPT perlu memastikan ia berada dalam keadaan yang baik serta mampu bertahan sekali gus mengekalkan keindahan taman tasik ini.

“MPT juga ada menerima peruntukan daripada Jabatan Landskap Negara sejak 2010 bagi menjaga landskap di taman tasik ini supaya ia terus kekal sebagai tempat tumpuan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Syahrulnizam berkata, Bahagian Landskap MPT juga sentiasa memantau serta mencari kaedah terbaik untuk terus mengekalkan keindahan di sekeliling tasik berkenaan terutamanya pokok hujan-hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 6:16 AM