LIMA lelaki diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Lima sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan secara bersama melakukan cubaan membunuh seorang lelaki, awal bulan ini.

Tertuduh, K Ganesh Kumar, 18, K Nanrik Kumar Devit, 22, Lennox, 23, M Clemend Raj, 27, dan A Saravanan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di depan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki terbabit didakwa cuba membunuh Choo Tian En, 42, dengan melanggar kereta Proton Iswara Aeroback mangsa hingga menyebabkan Choo patah kaki kiri dan boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di depan sebuah kopitiam di Taman Muzaffar Shah, jam 12.10 tengah malam, 1 April lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari ketika prosiding mencadangkan mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dengan alasan kesalahan dilakukan serius.

Namun, Sivashangari menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya mahu menimbangkan untuk menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Peguam James Thanjong Tuan yang mewakili Clemend Raj memohon ikat jamin terhadap anak guamnya manakala empat lagi tertuduh merayu sendiri supaya diberikan jaminan.

Norma menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam bagi mewakili empat tertuduh lain.

Norma turut menetapkan setiap tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan diarahkan tidak mendekati mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 5:41 AM