DARI kiri, Azman, Norbayati dan Syed Mohd Fareed menunjukkan poster pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya kendalian PLUS.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kira-kira 200,000 pengguna lebuh raya masih menggunakan sistem pembayaran secara tunai biarpun pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mulai 26 April ini.

Pengurus Besar Operasi PLUS Norbayati Manap berkata, dengan mengambil kira sejumlah 12 peratus masih menggunakan kaedah pembayaran secara konvensional itu, PLUS mempergiatkan promosi penggunaan sistem kutipan tol secara elektronik.

“PLUS memulakan promosi pada Mac lalu untuk membuat penjualan, kempen kesedaran dan taklimat kepada pengguna lebuh raya supaya bersedia untuk menghadapi 26 April ini kerana tiada lagi transaksi secara tunai di plaza tol.

“Kami mohon pengguna lebuh raya yang masih menggunakan pembayaran secara tunai bersiap sedia dengan langkah memperkenalkan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya,” katanya pada Taklimat Media Pelaksanaan Kutipan Tol Secara Elektronik (ETC) Sepenuhnya di Plaza Tol Sistem Tertutup Antara Laluan Juru-Skudai di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Selatan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Syed Mohd Fareed Syed Zin dan Ketua Jabatan Lebuhraya Touch'n Go Azman Din.

Fokus taklimat membabitkan evolusi transaksi kutipan tol secara elektronik, pelan pelaksanaan 100 peratus ETC di Plaza Tol laluan Juru-Skudai dan kesan pelaksanaan 100 peratus ETC.

Menurut Norbayati, PLUS yakin pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya kendaliannya mampu mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Beliau berkata, penggunaan 100 peratus kad PLUSMiles, Touch'n Go atau Smart Tag mampu menambah baik kapasiti lorong dan tempoh transaksi bayaran tol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:38 AM