EMILEE (tengah) mencuba adat berinai tradisi masyarakat Banjar.
AZLAN menunjukkan seorang bayi yang dikenakan adat bapukong.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Bagan Serai: “What is this, can I try?” (Apa ini? Boleh saya cuba?) Demikian reaksi salah seorang daripada 20 pelajar asing program pertukaran Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar, sejurus melihat inai dipakai dua pasangan pengantin di sini.

Pelajar jurusan kejuruteraan dari United Kingdom yang hanya mahu dikenali sebagai Emilee, 21, pelik melihat inai yang dipakaikan pada jari pasangan pengantin sehingga mendorongnya untuk mencuba ketika menghadiri Festival Adat Masyarakat Banjar yang diadakan
di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin, di sini, kelmarin.

Menurut Emilee, dia berasa pelik melihat persiapan persandingan masyarakat Banjar dan tertarik untuk mencuba memakai inai.

“Kali pertama melihat adat persandingan ini saya tertarik untuk turut sama mencuba terutama adat berinai.

“Walaupun saya sendiri tidak tahu maksud inai, saya amat menyukainya sejurus melihat keseluruhan jari yang dipakaikan inai bertukar menjadi merah,” katanya.

Menurutnya, selain adat persandingan, pembuatan makanan tradisional masyarakat Banjar khususnya wadai kiping sangat unik, menyelerakan dan manis.

Selain itu, pelajar berkenaan turut bergotong-royong dalam memasak gulai kawah untuk dimakan bersama pengunjung lain.

Pelbagai ragam dapat dilihat pelajar daripada beberapa negara yang menghadiri program itu dan mereka menunjukkan sikap ingin tahu dan seronok apabila diberi taklimat serta demonstrasi berkaitan pelbagai informasi terutama berkaitan masyarakat Banjar.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Kulaan Malaysia (KKM) Azlan Che Lob berkata, program anjuran Majlis Daerah Kerian, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian dengan kerjasama pihaknya mendapat maklum balas pelbagai dari semua pihak.

Katanya, bagi mengetengahkan budaya masyarakat Banjar agar dikenali seantero dunia, pihaknya sentiasa menjemput pelajar tempatan dan luar negara untuk turut serta dalam setiap program yang diadakan.

“Seramai lebih 20 pelajar pertukaran UTP Seri Iskandar dibawa menyertai program ini. Ternyata mereka turut tertarik dengan segala aktiviti yang dipersembahkan.

“Antara gelagat yang mencuit hati apabila mereka terkejut melihat adat ‘bapukong’ di mana mereka menyangkakan seorang bayi diikat dan digantung pada satu pondok kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 7:52 AM