ANGGOTA imigresen menahan wanita warga asing dalam Op Ikrar.
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Penemuan kad perakam waktu dengan pelbagai nama manja dipercayai milik wanita warga asing membongkar kegiatan mereka sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri di sebuah pusat karaoke di Jalan Magazine, di sini, malam kelmarin.

Op Ikrar jam 9 malam membabitkan 37 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri hasil intipan dan risikan dilakukan lebih dua minggu lalu ke atas sebuah pusat karaoke terletak di dalam sebuah hotel.

Jurucakap berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya mendapati beberapa wanita warga asing asyik melayan pelanggan di beberapa bilik tanpa menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri sebelum mereka tersentak menyebabkan ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi.

Beliau berkata, tindakan pantas pegawai penguat kuasa mengepung semua pintu keluar di tingkat bawah dan atas menggagalkan usaha dan cubaan mereka untuk melepaskan diri selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 54 wanita warga asing serta dua lelaki warga asing berusia 20 hingga 35 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen diri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 25 wanita China dan 29 wanita Vietnam dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan berikutan pengakuan awal menerusi kad perakam waktu ditemui di dalam pusat hiburan itu.

“Pada peringkat awal, mereka mengakui mempunyai kad perakam waktu dan menggunakan nama timangan sebagai identiti bagi mengelak sekiranya ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti identiti dan aktiviti sebenar mereka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b).

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan Borang Saman kepada seorang lelaki rakyat tempatan berusia 30-an dipercayai pemilik premis hiburan untuk hadir membantu siasatan.

Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan, dua premis hiburan di Pusat Perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat, Nibong Tebal diperiksa dan pihaknya menahan 13 wanita warga Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh berusia 20 hingga 30-an.

“Semua yang ditahan disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/1963.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen negeri, Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 8:03 AM