KEADAAN bas ekspres dua tingkat selepas melanggar treler di Kilometer 80, Jalan Lipis-Merapoh, awal pagi semalam.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Lipis: Maut ketika sedang tidur. Itu nasib menimpa pemandu kedua sebuah bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Lipis-Merapoh, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan, sebelum merempuh treler yang diletakkan di tepi jalan.

Lebih menyayat hati, mangsa, Anuar Ismail, 46, berasal dari Pasir Mas, Kelantan ditemui dalam keadaan kaki kirinya terputus dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, bas ekspres dua tingkat membawa 42 penumpang itu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh treler rosak yang diletakkan di tepi jalan.

Katanya, akibat perlanggaran itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu bas dan dua penumpang cedera.

“Semua penumpang yang lain selamat dan berjaya dikeluarkan pihak bomba. Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan pemandu bas dan treler terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, mereka yang cedera dihantar ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Azry Akmar berkata, ketika kejadian sebuah trak tunda dipercayai menunda treler berkenaan turut mengalami kerosakan kecil akibat kemalangan itu.

“Pemandu bas memberitahu punca dia hilang kawalan disebabkan terkena pantulan cahaya dipasang trak tunda itu sebelum melanggar treler berkenaan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:53 AM