ANGGOTA SPRM mengiringi enam lelaki di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Enam lelaki termasuk seorang ahli perniagaan yang bergelar Tan Sri bersama anak lelakinya direman enam hari bermula semalam oleh Mahkamah Majistret, di sini, bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu pembekalan geotube bagi kerja pemulihan Sungai Melaka sejak tujuh tahun lalu.

Perintah reman hingga Selasa depan dikeluarkan Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut direman tiga pegawai dan seorang pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selepas dipercayai bersubahat bersama Tan Sri berkenaan.

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan dengan kesalahan.

Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM dengan keadaan bergari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Tan Sri berkenaan ditahan SPRM di kediamannya di Johor kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin manakala anak lelakinya ditahan di pejabat jam 11 malam hari yang sama.

Tiga pegawai dan seorang bekas pesara JPS pula ditahan berasingan masing-masing di Johor, Melaka dan Seremban.

Difahamkan, tuntutan palsu itu dilakukan bagi kerja pemulihan sungai menggunakan kaedah penggalian JPS.

Suspek dipercayai mengemukakan invois pembayaran hampir RM13 juta bagi membekalkan 358 unit geotube namun 89 unit yang dibekalkan bernilai kira-kira RM4 juta menyebabkan kerajaan kerugian hampir RM9 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:49 AM