LELAKI yang cedera akibat terkena letupan silinder pemadam api dibawa ke HKL.

Kuala Lumpur: Seorang lelaki cedera parah pada tulang punggung sejurus silinder pemadam api di tingkat enam sebuah bangunan di Jalan Raja Chulan, di sini, meletup mendadak.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, mangsa berusia 22 tahun itu dikatakan kebetulan berada di lokasi kejadian berhampiran tempat meletak kenderaan di tingkat enam bangunan itu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, lelaki tempatan itu mengalami kecederaan kritikal pada bahagian tulang punggung akibat letupan itu.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Panggilan kecemasan diterima pada jam 4.39 pagi dan bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian,” katanya.

Samsol berkata, siasatan bomba mendapati silinder yang meletup itu digunakan untuk memadam api.

“Bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan dan kami akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:27 AM