ANGGOTA bomba mengangkat mayat yang ditemui mati tergantung.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Korea Selatan ditemui mati tergantung di dalam bilik air di sebuah kondominium, di Jalan Duta Kiara, di sini, kelmarin dipercayai membunuh diri.

Dalam kejadian jam 9.18 malam, mayat, Yungsool, 58, ditemui selepas pengurusan kondominium membuat aduan polis mengenai bau busuk di sebuah kediaman didiami lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, pihaknya mendapatkan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bagi membuka pintu.

Katanya, selepas pintu dibuka, anggota menemui mangsa tergantung di dalam bilik air dipercayai mati lebih dari tiga hari.

“Siasatan mendapati mangsa memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan dia tinggal sendirian di kediaman terbabit.

“Polis turut mendapat maklumat daripada rakan mangsa yang memaklumkan lelaki berkenaan memasuki negara ini untuk membuka restoran Korea, tetapi masih mencari lokasi sesuai dan dia mempunyai isteri serta dua anak di Korea.

“Siasatan dilakukan unit forensik di kediaman terbabit tidak menemui unsur jenayah dan mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Shahrul berkata, pihaknya turut memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Korea Selatan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) hingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 9:32 AM