Perwatakan alim terkini Mr Az.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mangsa penipuan skim pelaburan yang didalangi Mr Az mengharapkan lelaki itu tampil menyerah diri kepada polis dan memulangkan semula modal pelaburan mereka.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Din, 38, berkata, dakwaan menyatakan modal pelaburan tertinggi RM500,000 adalah tidak benar kerana dia sudah membelanjakan RM1.2 juta untuk skim pelaburan yang diasaskan Mr Az.

Menurutnya, dia seorang daripada dua pelabur yang memulakan pelaburan melebihi RM1 juta dalam senarai pelabur kumpulan A bagi skim itu.

“Kami sedia bekerjasama dengan polis untuk berkongsi maklumat bagi menjejaki Mr Az dan ejennya yang dipercayai berada di dalam negara berdasarkan maklumat daripada pelabur yang masih berhubung dengan mereka.

“Kami berharap mereka bertaubat dan memulangkan semula modal pelaburan kami meskipun tanpa keuntungan seperti yang dijanjikan selepas menyertai skim pelaburan tukaran mata wang asing,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Din yang juga broker hartanah, dia sedia memaafkan Mr Az kerana sepanjang perkenalan, mereka banyak menghabiskan masa dengan berbual mengenai soal agama.

Seorang lagi mangsa yang juga pengurus katering dikenali sebagai Adiqa, 46, berkata impiannya untuk mengubah taraf hidup dan keluarga musnah apabila tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Bapa tiga anak itu kini dibebani hutang dengan pengurusan katering selepas membuat pinjaman peribadi RM50,000.

Menurut Adiqa, dia tidak mempunyai pilihan kecuali mencari wang bagi menjelaskan hutang berkenaan dan berharap Mr Az dijejaki pihak berkuasa.

“Saya mengenali lelaki itu dua tahun lalu ketika menghadiri seminar pelaburan anjurannya. Dia menarik perhatian saya untuk menyertai skim pelaburan ini dengan menunjukkan bukti kejayaan dan kekayaan yang dimilikinya.

“Ketika itu saya buntu kerana tiada simpanan yang banyak untuk menyertainya namun dia berjaya memujuk saya menggunakan duit syarikat,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 9:25 AM