Universiti Sains Islam Malaysia menganjurkan program Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN 2017.

Nilai: Lebih 700 mahasiswa dijangka menghadiri program Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2017 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bermula esok hingga Isnin depan.

Program yang mendapat kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) itu bertemakan Wasatiyyah Asas Transformasi Belia membabitkan IPT dari Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Penuntut USIM Nasrul Hakim Ahmad berkata, program berkenaan mempunyai lima acara utama iaitu pertandingan Debat Bahasa Arab, Tilawah al-Quran, nasyid, Seminar Tadabbur al-Quran dan acara terbaru iaitu Pidato Dwibahasa (bahasa Arab dan bahasa Melayu).

“Penganjuran program ini untuk mempersembahkan agama Islam yang disampaikan dalam pelbagai kaedah dakwah di mana ia menghimpunkan golongan belia serantau bagi berkongsi buah fikiran.

“Ia juga dapat mengasah bakat berhujah peserta selain memperluaskan jaringan ukhwah rantau ASEAN dan secara tidak langsung menyatukan seluruh mahasiswa Islam di universiti serantau,” katanya.

Katanya, sepanjang Seminar Tadabbur al-Quran pada Ahad ini, ia bakal menghimpunkan panel penceramah dalam kalangan tenaga pengajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.

“Mereka ialah Dr Muhammad Lukman Ibrahim, Dr Mahsor Yahya, Timbalan Pengarah Pusat Islam, Dr Noornajihan Ja’afar dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Antara tajuk bakal dibincangkan merangkumi Gagasan Al-Quran terhadap Khairul Ummah, Tadabbur Ayat Wasatiyyah dalam al-Quran, Tadabbur al-Quran melalui Seni Tajwid dan Model Wasatiyyah dalam kalangan Sahabat,” katanya.

Sebanyak 25 universiti awam menghantar penyertaan antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu, wakil Indonesia ialah Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ), Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Universitas Muhammadiyah Malang Indonesia (UMM), Universitas Islam Bandung (UNISBA), UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, Universitas Darussalam Gontor, Universitas Al Azhar Indonesia, Universitas Islam Indonesia, Universitas Islam Nusantara (UNINUS) manakala Brunei (Universiti Islam Sultan Sharif Ali).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 3:30 AM