NAJIB bersalam dengan Hollande selepas sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Kerajaan mengakui kejayaan dan keupayaan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) keluaran Perancis, Rafale di beberapa negara namun belum lagi membuat keputusan untuk membeli pesawat berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan melihat sebarang kemungkinan mengenai pembelian pesawat itu.

“Kami mengambil perhatian mengenai kejayaan Rafale di beberapa negara dan kemungkinan pesawat itu menjadi subjek kerjasama dengan negara berkenaan juga,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis Francois Hollande, di sini, semalam.

Sementara itu, Hollande berkata, pihaknya memberikan sokongan sewajarnya kepada Malaysia berhubung jet pejuang yang dikeluarkan Dassault Aviation SA itu.

“Saya tahu anda (kerajaan Malaysia) akan membuat keputusan dan berdasarkan itu kami ingin memberikan sokongan sewajarnya.

“Kami berusaha bagi tujuan itu. Apa yang saya boleh kongsikan Rafale adalah jet pejuang terbaik dalam kategorinya. Kami turut cadangkan supaya dibincangkan harga dan spesifikasinya,” katanya.

Hollande berada di Malaysia sejak kelmarin bagi melengkapkan lawatan kerja rasminya selama dua hari ke negara ini.

Sementara itu, Najib berkata, kedua-dua negara turut menjalinkan kerjasama erat dalam soal memerangi ekstremisme dan keganasan global.

“Saya berkongsi dengan Presiden, pengalaman dan cabaran yang kerajaan hadapi dalam soal memerangi keganasan dan kami bersetuju bekerjasama.

“Saya turut menyerahkan kepadanya naskhah modul deredikalisasi yang mencapai kadar kejayaan 95 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 9:29 AM