Anggota bomba dan ahli keluarga mengusung mayat Mohd Amiruddin.
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


Bachok: Kegembiraan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) mengikut jirannya bersiar-siar di pantai berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas dalam kejadian di Pantai Irama, di sini, jam 3 petang semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, Mohd Amiruddin Ismail, 12, yang mengalami masalah pembelajaran bermain di atas batu di pesisir pantai itu bersama dua jirannya.

Bagaimanapun, dia tergelincir dan jatuh ke laut pada jam 1 tengah hari.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmed Mazdan Jusoh berkata, mangsa tinggal di Kampung Bendang Ikan, Rantau Panjang datang ke pantai itu bersama jiran.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari selepas orang awam cuba membantu menyelamatkan mangsa, tidak berjaya.

“Enam anggota ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat dan operasi mencari serta menyelamat digerakkan. Mayat mangsa ditemui kira-kira dua jam di lokasi dia terjatuh dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 9:53 AM