JAAFAR (dua dari kanan) ketika dibawa ke mahkamah.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kajang: Pengasas utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (PEWARIS) Jaafar Shaari didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tiga tuduhan menyebabkan kematian seorang pengikutnya dan memiliki sepucuk pistol serta peluru tanpa lesen.

Jaafar, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noridah Adam.

Ahli perniagaan itu yang memakai baju lokap berwarna ungu dilihat tenang sepanjang prosiding di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Jaafar didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Sahdan Ishak, 39, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabit kesalahan.

Jaafar turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver dan sebutir peluru tanpa lesen sah.

Bagi kesalahan memiliki senjata api, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika sabit kesalahan.

Manakala bagi kesalahan memiliki peluru, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Semua perbuatan itu dilakukan antara jam 2.30 pagi dan 3 pagi dan 10.40 pagi pada 10 Mac di rumah alamat No 35 Jalan Suakasih 2/2, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras, Hulu Langat.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Adlan Ismail.

Pada 20 Mac 2013, Jaafar bersama anaknya Ahmad Jiwari, 28, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada tuduhan menyebabkan kematian seorang penjual minuman pada 2012.

Dua beranak berkenaan sebelum itu mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terbabit ke atas Azahari Sidek di Downtown The Mines, Seri Kembangan, Selangor, pada 13 Ogos 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 10:35 AM