Abdul Halim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

Kangar: Seorang koperal polis bertugas di Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dituduh di Mahkamah Sesyen, semalam atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM4,000 pada April dan Mei tahun lalu.

Tertuduh Abdul Halim Darus, 59, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan sebaik ia dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah dalam prosiding didengar Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi tuduhan pertama, Abdul Halim didakwa menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada Fifi Adefi Yusof, 27, (pengadu) pada 7 April 2016, jam 3 petang.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh meminta suapan RM3,000 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Fifi Adefi melalui nombor telefon peribadinya pada 4 Mei 2016, jam 12.24 tengah hari.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Lot F8784/8788, Kampung Melayu, Jalan Belakang Balai Bomba, Padang Besar, dekat sini.

Abdul Halim seterusnya didakwa menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada Fifi Adefi di parkir pejabat AKSEM Padang Besar pada jam 9.50 malam, 6 Mei tahun lalu.

Dia didakwa menerima dan meminta rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pengadu yang disyaki menyeludup daun ketum ke Thailand.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Abdul Halim didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Syahrul Khuzaini Amiruddin melakukan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam, Aida Nabihah Mukhtar.

Sementara itu, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam merayu ia dikurangkan.

Alasan peguam, tertuduh mempunyai tanggungan lima anak dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan serta menghidap penyakit kencing manis dan sakit jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 dan 23 Mei depan bagi perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:02 AM