ANGGOTA imigresen memproses permohonan E-Kad pekerja warga asing di Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang.

Shah Alam: Program E-Kad yang dilaksanakan sejak 15 Februari lalu untuk majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa izin (PATI) didapati kurang mendapat sambutan di negeri ini.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk operasi berkala, hebahan media dan pengedaran risalah, jumlah mereka yang memohon masih berada pada tahap rendah.

Pengarah Imigresen negeri Omran Omar berkata, sehingga Jumaat lalu, pihaknya hanya mengeluarkan 2,826 kad di seluruh Selangor.

“Berikutan negeri ini mempunyai bilangan warga asing tanpa dokumen yang ramai, kita menyasarkan kira-kira 50,000 kad untuk dikeluarkan sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Jun ini.

“Masih ramai majikan takut untuk mendaftar kerana bimbang mengenai bayaran dikenakan. Mereka tidak perlu bimbang kerana program E-Kad ini adalah percuma,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurut Omran, pihaknya mendapati ada majikan yang tidak membawa dokumen lengkap sehingga menyebabkan urusan pemberian kad itu tergendala.

“Berikutan itu, kita meminta majikan membawa dokumen yang lengkap dan boleh merujuk ke laman web Jabatan Imigresen untuk maklumat lanjut.

“Majikan yang menggajikan PATI diminta membuat permohonan secepat mungkin sebelum tarikh tutup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 5:34 AM