SUSPEK ditahan dalam Op Sarang.

Tawau: Penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun di rumahnya di Kampung Mentadak Baru, Wallace Bay, Pulau Sebatik, dekat sini, jam 9 pagi kelmarin, membawa kepada penemuan syabu selain dua senapang buatan sendiri dan 17 peluru hidup.

Pada serbuan itu, polis menemui 5.1 gram syabu selain siasatan turut mendapati suspek tidak mempunyai permit memiliki kedua-dua senapang itu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri namun gagal. Pemeriksaan di bilik rumah itu menemui syabu serta senapang terbabit.

“Syabu bernilai RM500 itu disimpan dalam satu bungkusan. Kami turut menemui 17 peluru dalam satu lagi bungkusan. Semua barangan terbabit termasuk senapang dirampas untuk siasatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif syabu,” katanya, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa permit.

Terdahulu, Fadil berkata, pada operasi sama, pihaknya menahan suami isteri yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah
di Kampung Pendekat, Pulau Sebatik.

“Pasangan berusia 30-an itu ditahan di ruang tamu rumah mereka, pemeriksaan menemui satu peket kecil syabu pada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:52 AM