Abdul Rahman (tengah) berbincang dengan Che Man (dua dari kanan) ketika meninjau struktur pemujaan nombor ekor di puncak Bukit Tinggi, Kampung Londang, Masjid Tanah.

Alor Gajah: Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan merobohkan sebuah pondok yang dijadikan tempat pemujaan
di puncak bukit berhampiran kawasan hutan di Kampung Londang, Masjid Tanah
di sini.

Pengarah Jabatan Bangunan MPAG Abdul Rahman Nordin mengesahkan tanah berkenaan milik kerajaan negeri dan pondok itu dibina tanpa kelulusan pihaknya.

“Kami sedang tunggu arahan daripada pihak atasan jika semuanya berjalan lancar operasi merobohkan pondok itu akan dilakukan hari ini (semalam) atau esok (hari ini).

“Keputusan ini diambil selepas saya sendiri meninjau kawasan berkenaan yang didakwa menjadi tempat pemujaan bagi mendapatkan nombor ramalan kaki judi,” katanya.

Katanya, tinjauan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Londang Che Man Md Tawi, pegawai MPAG dan Jabatan Perhutanan Melaka.

Sementara itu, Che Man berharap MPAG merobohkan segera pondok berkenaan dan membersihkan kawasan sekitarnya bagi mengelakkan aktiviti khurafat berlarutan, seterusnya menjejaskan imej kampung berkenaan.

Harian Metro semalam, melaporkan kebimbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud terhadap kegiatan pemujaan nombor ekor
di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:53 AM