ABDUL Azeez (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mohamed Omar (tiga dari kanan) sambil disaksikan Abdul Jalil (tiga dari kiri) dan Salleh (empat dari kanan).
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penderitaan lebih enam juta rakyat Somalia yang terjejas teruk akibat masalah kemarau yang berlaku sejak empat tahun lalu mendapat perhatian rakyat di negara ini.

Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Media Prima dan Somalia National Drought Committee mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Rayuan Kecemasan Somalia, semalam.

Tabung berkenaan dilancarkan oleh Pengerusi KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sambil disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak di Menara HLA, Jalan Kia Peng, di sini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Omar Arte, Presiden MAPIM Azmi Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali dan Duta Somalia ke Malaysia Abukar Abdi Osman.

Media Prima menjadi media rasmi bagi kempen kutipan dana untuk membantu rakyat Somalia yang menderita akibat krisis kemarau berpanjangan itu.

Abdul Azeez berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyokong usaha itu dan memberikan sumbangan pertama daripada kerajaan AS$100,000 (RM451,000).

“Tabung Haji turut menyumbang RM50,000 yang akan diurus dan dipantau Kedutaan Somalia di Malaysia serta KP1M.

“Kedutaan Somalia akan menghantar wang berkenaan ke negara terbabit setiap minggu untuk membeli makanan dan minuman,” katanya.

Beliau berkata, Somalia di antara tiga negara lain selain Yaman dan Nigeria yang kini di ambang kebuluran dan konflik berterusan di negara itu juga dilaporkan memburukkan keadaan.

“Setiap hari 250 kanak-kanak di Somalia meninggal dunia akibat kebuluran.

“Semua sungai di Somalia sudah kering dan penduduk di sana terpaksa memproses air laut untuk mendapatkan bekalan air.

“Sejak 2011 sehingga kini, kira-kira sejuta kanak-kanak di bawah usia lima tahun kekurangan nutrisi dan keadaan mereka begitu menyedihkan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, masalah kebuluran di Somalia dianggap sebagai masalah Islam sejagat dan perlu mendapat bantuan terutamanya daripada negara Islam.

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 564052531232 atas nama Tabung Rayuan Kecemasan Somalia,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Omar berkata, pihaknya menghargai usaha terbaru dilakukan NGO terbabit untuk membantu rakyat Somalia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:47 AM