SEBAHAGIAN wanita warga asing yang disyaki melacur ditahan imigresen.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Satu sindiket pelacuran antarabangsa yang berselindung di sebuah hotel tiga bintang di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur tumpas selepas diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kelmarin.

Dalam serbuan jam 5 petang itu, seramai 28 pelacur warga asing dan lima lelaki tempatan ditahan kerana terbabit dalam aktiviti maksiat dan pelacuran di hotel berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semua mereka ditahan menerusi Op Gegar oleh sepasukan 23 pegawai dan anggota imigresen selepas menerima maklumat awam dan risikan.

Beliau berkata, operasi selama empat jam berakhir 10 malam itu turut merampas wang tunai RM9,550 disyaki hasil kegiatan pelacuran berkenaan.

“Pelacur yang ditahan masing-masing enam warga Kazakhstan, Vietnam (lima), Thailand (empat), Indonesia (empat), Mongolia (tiga), China (tiga), Russia (dua) dan Turki (seorang).

“Turut ditahan lima lelaki tempatan yang menyelia aktiviti tidak bermoral itu selain menjadi orang tengah bagi mendapatkan pelanggan,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, siasatan mendapati, semua pelacur yang ditahan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan melanggar Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 6:08 AM