Teman wanita suspek dibawa ke Mahkamah Khas Reman, Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Tempoh tahanan reman seorang pemimpin sayap sebuah parti politik di negeri ini bersama seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes penipuan urusan permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dilanjutkan dua hari lagi.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri bermula semalam hingga hari ini.

Lanjutan reman itu dibenarkan bagi membolehkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) menjalankan siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kedua-dua suspek yang berusia 43 dan 41 tahun itu ditahan polis jam 5 petang, 7 Mac lalu di perkarangan IPD Iskandar Puteri selepas dipanggil memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Difahamkan, mereka disyaki terbabit dalam kes penipuan dengan menawarkan RMMJ membabitkan empat mangsa dengan kerugian RM120,000 sejak tahun lalu bagi siasatan kes IPD Iskandar Puteri. Suspek kemudian turut disiasat IPD JBU untuk kes sama membabitkan laporan polis lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 8:58 AM