Roslim mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut isterinya.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara dua tahun dan denda selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut isterinya dengan parang di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Roslim Hamat, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mahkamah menetapkan 30 Mac untuk mendengar keterangan impak daripada isteri tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut hendak memukul isterinya, Zaidah Mustaffa, 46, dengan parang, selain melarikan anak mereka di rumah di Taman Kenangan, Jalan Hospital, di sini, pada jam 1.30 pagi, 26 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda dan kedua-keduanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahmeera Mustafa menawarkan jaminan RM6,000 dengan syarat hanya isteri dibenarkan menjadi penjamin, selain tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan paling minimum.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan penjamin isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:03 AM