RIDHWAN menunjukkan cermin kereta dipecahkan penjenayah.

Kajang: “Mereka (suspek) pecahkan cermin kereta dan terus acukan parang ke arah leher isteri saya sebelum merampas semua barang berharga serta wang tunai,” kata Mohd Ridhwan Rosli, 32, berhubung kejadian samun dilakukan lima lelaki.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin, lima penjenayah bermotosikal didakwa turut merompak tiga kediaman lain di Bandar Baru Bangi di sini.

Ridhwan berkata, isterinya Nurul Hasanah Mohd Akhir, 32, diserang lima lelaki di hadapan kediamannya di Jalan 5A/7, Taman Langat Jaya, Bandar Baru Bangi, di sini, sewaktu menaiki kereta untuk menghantar dua anaknya berusia sembilan bulan dan tiga tahun ke rumah pengasuh sebelum ke tempat kerja.

Menurutnya, isterinya baru menghidupkan enjin kenderaan sebelum suspek menyerang.

“Sewaktu kejadian saya tiada di rumah kerana sudah ke tempat kerja.

“Difahamkan lima lelaki terbabit menaiki tiga motosikal. Tiga daripada mereka bertindak memecahkan cermin sisi sebelah pemandu dan merampas kunci kereta sebelum mengacukan parang ke leher isteri saya,” katanya kepada wartawan Harian Metro ketika ditemui, semalam.

Ridhwan berkata, suspek turut menikam tayar kereta model Perodua Myvi sebelum menggertak isterinya supaya menyerahkan barang kemas dan beg tangan.

“Kejadian itu disedari seorang jiran yang cuba membantu isteri saya. Tetapi seorang daripada penjenayah melibaskan parang dan mengugut jiran supaya tidak masuk campur sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 8:32 AM