PENGUAT Kuasa KPDNKK mengeluarkan kompaun terhadap peniaga di Jalan Raja Alang, semalam.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Terlupa, hilang dan tidak tahu perlu letak tanda harga. Itu antara alasan peniaga pasar malam sekitar Jalan Raja Alang, di sini, yang masih enggan meletakkan tanda harga pada barangan dijual.

Dalam pemeriksaan jam 5 petang kelmarin, 12 penjaja dikenakan kompaun oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) susulan pemeriksaan mengejut.

Kebanyakan penjaja degil dipercayai sengaja tidak meletakkan tanda harga untuk mengelirukan pengunjung dengan menjual pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa bahan mentah dipasarkan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, kebanyakan peniaga terbabit cuba mengelak dikenakan kompaun dengan mendakwa tidak mengetahui peraturan itu.

Katanya, serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dilakukan bahagian penguat kuasa KPDNKK sejak seminggu lalu.

“Ketika serbuan, semua gerai itu gagal mempamerkan tanda harga pada barang yang dijual.

“Golongan peniaga diingatkan supaya mematuhi arahan pemasangan tanda harga dan tindakan diambil menerusi pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ini, RM1,600 kompaun dikeluarkan kepada 12 peniaga gerai mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 6:20 AM