PERHILITAN Pahang memasang perangkap kera di kawasan sampah di Teluk Chempedak.

Kuantan: Tindakan pengunjung gemar memberi makan kepada kera liar di Teluk Cempedak menjadi punca utama haiwan itu semakin meningkat bilangannya di pantai peranginan itu.

Malah, kehadiran haiwan terbabit mengganggu pengunjung selain peniaga berhampiran, malah bertindak agresif apabila kelaparan.

Kebimbangan terhadap ancaman kera liar itu nyata berasas apabila seorang pelancong asing diserang kera ketika berjalan ke Teluk Tongkang, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Ahmad Azhar Mohammed berkata, kejadian kera menyerang manusia disebabkan ada pihak sentiasa memberinya makan.

Menurutnya, apabila sudah biasa mendapat makanan, kera akan bertindak agresif dan menyerang pengunjung yang bersiar-siar di kawasan peranginan itu semata-mata untuk mendapatkan makanan.

“Justeru, kami melarang orang ramai yang berkunjung ke Teluk Chempedak memberi makan atau minuman kepada kera yang banyak berkeliaran di kawasan itu.

“Kera tidak akan menyerang manusia kecuali dalam beberapa keadaan seperti terancam, mengalami kecederaan dan memerlukan makanan.

“Kera jantan yang menjadi ketua kumpulan di sesuatu kawasan juga lebih agresif terhadap manusia. Banyak kes serangan haiwan liar itu berlaku dengan pantas dan tidak dijangka hingga menyebabkan kecederaan serius, ” katanya di sini, semalam.

Ahmad Azhar berkata, kera adalah haiwan yang membawa penyakit zoonotik dan boleh menjangkiti manusia. Usaha pencegahan perlu dilakukan secara berkesan dengan cara menjauhkan diri daripada haiwan terbabit.

Katanya, Perhilitan berharap pengunjung Teluk Chempedak dapat mematuhi peraturan dan amaran pihak berkuasa tempatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terus berlaku.

Menurutnya, selepas kejadian Isnin lalu, Perhilitan bertindak segera dengan memasang perangkap yang ditempatkan di kawasan pengumpulan sampah di pusat peranginan itu.

Beliau berkata, pihaknya kini berusaha menangkap kera di kawasan itu walaupun ada pihak tidak senang dengan tindakan itu kerana mereka beranggapan haiwan berkenaan menjadi antara tarikan di Teluk Chempedak.

“Beberapa ekor kera masuk ke dalam perangkap yang dipasang kelmarin, namun ada pihak yang bertindak melepaskan dengan membuka pintu kecil perangkap berkenaan. Tindakan individu itu dianggap mengganggu tugas Perhilitan.

“Kakitangan Perhilitan akan berada di kawasan perangkap setiap hari untuk meninjau perangkap yang dipasang selain turut memindahkan kera yang ditangkap ke kawasan hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:56 AM