ANGGOTA penguat kuasa DBKL mengangkat peralatan perniagaan.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Degil dan sengaja mencabar undang-undang. Itu tindakan sekumpulan peniaga gerai makanan warga asing yang enggan berganjak walaupun premis di Jalan Alor, di sini, pernah diserbu pihak berkuasa.

Dalam Op Tegas bermula jam 10.30 malam semalam, sepasukan anggota Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi menggempur premis makanan warga asing di kawasan itu.

DBKL memeriksa enam premis termasuk penjaja makanan warga asing sebelum menyita barang perniagaan mereka selepas didapati menjalankan perniagaan secara haram.

Jurucakap DBKL berkata, pihaknya mengerah 84 pegawai dan anggota DBKL dibantu lima anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lima anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam operasi itu.

“Kami terlebih dahulu menghantar beberapa pegawai dan anggota berpakaian biasa untuk membuat risikan di kawasan itu.

“Kami kemudian melakukan serbuan sebelum menahan enam warga asing yang berniaga tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata, DBKL menyita barang perniagaan milik peniaga itu antaranya tong gas, kerusi, meja, peralatan memasak, bekas makanan dan dapur.

“Kawasan ini kerap diserbu pihak berkuasa namun masih ramai warga asing membuka premis dan menjaja di kawasan ini memandangkan ia lokasi tumpuan pelancong asing dan tempatan untuk menjamu selera.

“Ada antara mereka yang sebelum ini diberikan nasihat dan peluang namun tidak mengendahkannya. Tindakan sebegini akan diteruskan bagi memastikan keselesaan warga kota yang lain.

“Mereka didapati bersalah mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1989 iaitu bertindak sebagai penjaja tanpa lesen atau bukan warganegara,” katanya.

Menurutnya, JIM juga menahan tiga warga asing terdiri daripada seorang warga Bangladesh dan dua Myanmar kerana kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:11 AM