anggota polis membawa tiga sahabat ke mahkamah, semalam.
myMetro

Port Dickson: Tiga sahabat masing-masing dipenjara 26 dan 19 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tujuh dan enam pertuduhan menyimpan harta curi, bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Amir Ismail, 24, serta dua rakan, Muhammad Effendi Idrus, 25, dan Mohamad Hisyam Kasim, 26, turut didenda RM4,300 setiap seorang oleh Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Ketiga-tiga mereka ahli kumpulan Geng Fendi membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dalam enam pertuduhan secara bersama iaitu menyimpan harta curi membabitkan dua telefon bimbit, dua komputer riba, penggera kereta, masing-masing seunit Smart Tag dan kad Touch N Go, beg silang dan dompet jenama Louis Vuitton, kunci kereta Audi, dua kad bank serta sebuah beg pakaian.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Politeknik, Telok Kemang, di sini, pada jam 2 petang, 8 Februari lalu.

Bagi pertuduhan tambahan, Muhamad Amir yang juga pekerja hotel mengaku bersalah menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Nokia di Kuarters Perikanan, Jalan Pantai Batu 7, Telok Kemang, pada jam 12.30 tengah malam, 12 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siti Khairiah mengarahkan Muhamad Amir dipenjara 26 bulan manakala dua rakannya 19 bulan bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan terbabit, Mohd Hazarul Ashraf Mohd Sayuti, 30, yang didakwa secara berasingan atas kesalahan menyimpan harta curi mengaku tidak bersalah.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 28 Mac ini sebagai sebutan semula kes selain menawarkan jaminan sebanyak RM3,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mahafiz Mat Lawi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:33 AM